By: Nabilah Abu Bakar
Wanita patut bersyukur dan rasa bertuah kerana mereka diciptakan sebagai wanita. Wanita adalah ibu. Ibu dalam pelbagai bahasa mempunyai pengertian yang sangat besar. Menurut Kamus Dewan, ibu bererti bahagian yang besar (induk, utama, pusat dll) daripada sesuatu (seperti pejabat dll); rumah ibu bermakna bahagian yang besar atau bahagian tengah sesebuah rumah.
Lantaran itu lahirlah pelbagai ungkapan yang menggambarkan betapa istimewanya insan bernama wanita seperti tiang negara, sekolah pertama, ratu hati, racun dan penawar dan lain-lain.
Selain itu terdapat nas-nas al-Quran atau Hadis yang secara jelas menunjukkan betapa syariat Islam begitu mengambil berat tentang wanita. Antaranya, Allah taala memerintahkan para suami agar bergaul dan melayani isteri meraka dengan cara yang baik dalam firman-Nya yang bermaksud,:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
“Dan gaulilah mereka dengan cara yang baik.” Surah an-Nisa’:19
Manakala hadis-hadis yang menunjukkan syariat Islam mengambil berat tentang wanita, antara lain ialah sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud,
“Syurga itu di bawah tapak kaki ibu.”
Ini bererti seseorang manusia walau setinggi mana pangkatnya, tidak akan dapat masuk syurga sekiranya dia tidak merendahkan diri atau menghormati ibunya. Nabi juga meletakkan ukuran baik buruknya seseorang lelaki bergantung kepada sejauh mana dia berbuat baik kepada isterinya. Ini digambarkan dalam hadis yang bermaksud,
“Sebaik-baik kamu adalah orang yang paling baik kepada isterinya.”
Al-Quran mengemukakan dua contoh wanita ternama yang patut menjadi teladan seluruh wanita sepanjang zaman dan menjadi role model bagi ibu bapa dalam membentuk anak-anak perempuan mereka. Mereka itu ialah Asiah permaisuri Firaun dan Maryam bonda kepada Nabi Isa alaihis-salam. Firman Allah bermaksud,
وَضَرَبَ اللَّهُ مَثَلًا لِلَّذِينَ آمَنُوا امْرَأَةَ فِرْعَوْنَ إِذْ قَالَتْ رَبِّ ابْنِ لِي عِنْدَكَ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ وَنَجِّنِي مِنْ فِرْعَوْنَ وَعَمَلِهِ وَنَجِّنِي مِنَ الْقَوْمِ الظَّالِمِينَ . وَمَرْيَمَ ابْنَتَ عِمْرَانَ الَّتِي أَحْصَنَتْ فَرْجَهَا فَنَفَخْنَا فِيهِ مِنْ رُوحِنَا وَصَدَّقَتْ بِكَلِمَاتِ رَبِّهَا وَكُتُبِهِ وَكَانَتْ مِنَ الْقَانِتِينَ
Dan Allah menjadikan isteri Firaun perumpamaan bagi orang-orang yang beriman, ketika dia berkata, "Ya Tuhanku, binalah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga dan selamatkanlah aku daripada Firaun dan perbuatannya dan selamatkanlah aku daripada kaum yang zalim, dan Maryam puteri Imran yang memelihara kehormatannya, maka Kami tiupkan ke dalam rahimnya sebahagian daripada roh (ciptaan) Kami; dan dia membenarkan kalimat-kalimat Tuhannya dan Kitab-kitab-Nya; dan adalah dia termasuk orang-orang yang taat.” Surah at-Tahrim :11-12
Ciri utama yang dibentangkan dalam ayat di atas ialah seorang wanita harus mempunyai wawasan atau matlamat hidup yang jelas dan tinggi. Hal ini digambarkan dalam ungkapan Asiah: "Ya Tuhanku, binalah untukku sebuah rumah di sisi-Mu dalam syurga…” Wanita beriman tidak sekadar mengimpikan sebuah banglo mewah di puncak bukit di pinggiran kota atau desa yang bersifat sementara, tetapi sebuah rumah di sisi Tuhan Yang Maha Agung dalam syurga yang abadi.
Kedua, wanita beriman memiliki ilmu dan berani mempertahankan kebenaran dan menentang kezaliman. Asiah, permaisuri kepada seorang maharaja yang perkasa dan kaya-raya, tidak membiarkan dirinya leka diulit kemewahan yang tiada batas sehingga tidak mengenal erti kebenaran dan keadilan. Sebaliknya beliau tidak teragak-agak menyatakan keimanan yang tulus suci kepada Allah s.w.t. dan memohon supaya dirinya tidak terpalit dengan kezaliman yang dilakukan oleh suaminya sendiri.
Ketiga, wanita beriman memiliki keyakinan yang tinggi terhadap Allah s.w.t. serta ayat-ayat-Nya. Allah s.w.t. adalah satu-satunya Pencipta dan Penguasa seluruh alam. Dia Maha Berkuasa, Maha Mengetahui, Maha Adil, Maha Bijaksana. Dia tidak menyuruh kecuali yang baik dan tidak melarang kecuali yang buruk serta tidak bermanfaat kepada hamba-Nya. Keyakinan kepada Allah mendorong kepatuhan yang tidak berbelah bagi kepada seluruh ajaran yang terkandung dalam kitab suci yang diturunkan-Nya. Dan antara wasiat serta amanah paling utama yang dituntut ke atas wanita agar memeliharanya ialah kehormatan diri dan kesucian alat sulit atau kemaluannya. Seorang wanita yang tidak mampu mempertahankan kesucian maruahnya dan tidak peka terhadap harga dirinya adalah pengkhianat kepada satu amanah yang dituntut oleh Pencipta agar dipelihara. Pengkhianatan itu bukan saja akan menjahanamkan diri dan hidupnya, malah mengancam kesejahteraan umat serta generasi akan datang.
Ciri wanita beriman seterusnya ialah zuhud. Zuhud bermaksud tidak terpaut kepada dunia dan segala isinya. Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya),
“Sekiranya aku memiliki emas sebesar bukit Uhud, aku bercita-cita supaya ia tidak berada dalam tanganku lebih daripada tiga malam. Aku tidak akan tinggalkan sesuatu pun selain daripada sedikit untuk melunaskan hutang.”(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Seorang lelaki bertanya kepada Nabi s.a.w.: “Ya Rasulullah, tunjukkan saya satu amalan yang apabila saya melakukannya saya akan dikasihi Allah dan manusia.”
Baginda menjawab: “Zuhud di dunia, nescaya kamu dikasihi Allah. Zuhud (jangan tamak) apa yang ada pada orang lain, nescaya kamu dikasihi manusia!” (Riwayat Ibn Majah)
Tanpa ciri-ciri di atas, wanita tidak akan selamat daripada terjebak ke dalam pelbagai kancah kehidupan yang berkemungkinan membawa kepada keruntuhan akhlak dan kemusnahan harga diri.
Seindah-indah hiasan dunia adalah wanita yang Solehah..hayatilah..